KUALA LUMPUR, 30 April- Kecanggihan teknologi masa kini semakin meluas digunakan dalam kehidupan seharian termasuk kecerdasan atau AI yang digunakan sebagai medium dalam bidang penulisan.
Justeru hasil penulisan AI kini semakin sukar dibezakan, namun menurut Jurutera Kanan Abu Huzaifah Bidin karya manusia masih lebih menyerlah dari segi keaslian dan inspirasi khususnya kepada masyarakat.
"Setakat ini memang susah malah kita ada aplikasi di luar sana yang boleh digunakan untuk mengesan sama ada karya ini adalah hasil menggunakan AI atau sebaliknya.
"Sekiranya kita seorang pembaca yang memang tekal atau rajin membaca, kita sebenarnya boleh membezakan dengan sendiri yang mana satu inspirasi sebenar dan inspirasi palsu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media, di sini.
Pada masa sama pengguna aplikasi digital turut dinasihatkan supaya berhati-hati terhadap isu privasi dan data peribadi, semasa menggunakan platform AI, terutamanya yang beroperasi secara dalam talian.
Sementara itu Menurut Ketua Jabatan Teknologi Maklumat Mohd Zulhusni Muaz berpendapat, penyalahgunaan ruang teknologi digital berpotensi diguna pakai kepada maklumat lain.
"Sekiranya kita sendiri terlalu memberi banyak informasi tentang diri kita, tanpa sedar data tersebut akan digunakan AI untuk menghasilkan sesuatu yang baharu bagi menjawab persoalan individu lain," katanya.
Beliau turut mencadangkan agar pengguna meneroka platform AI sumber terbuka yang boleh dijalankan secara luar talian, demi melindungi maklumat peribadi daripada dikongsi tanpa sedar.
Meskipun AI membuka ruang baharu dalam dunia penulisan, pengguna perlu bijak menilai dan mengurus risiko yang secara tidak langsung diundang bersama.