BUTTERWORTH, 30 April – Perkhidmatan feri baharu Pulau Pinang yang dilancarkan pada Ogos tahun lalu telah mencatat lebih lima juta penumpang sehingga kini, dengan majoriti terdiri daripada pejalan kaki.
Ketua Pegawai Eksekutif Penang Port Sdn. Bhd, Datuk Sasedharan Vasudevan berkata, daripada jumlah tersebut, 75 peratus merupakan pejalan kaki, manakala 25 peratus lagi ialah penunggang motosikal.
“Secara khususnya, terdapat peningkatan 5.8 peratus dalam jumlah penumpang feri berbanding tempoh sama tahun lalu.
"Ini satu perkembangan positif. Daripada lebih lima juta penumpang, 74 peratus adalah pejalan kaki, 25 peratus penunggang motosikal, dan 95 peratus pula terdiri daripada pengguna harian yang berulang-alik ke tempat kerja, khususnya ke George Town dan Komtar,” katanya demikian ketika ditemui selepas pembentangan laporan prestasi suku pertama Penang Port, di sini.
Tambahnya, meskipun, operasi perkhidmatan feri masih belum mencatat keuntungan, beberapa langkah penambahbaikan sedang dilaksanakan, termasuk peyelarasan jadual perjalanan serta promosi kerjasama dengan Kementerian Pelancongan Malaysia.
Penang Port turut menyasarkan penumpang tren Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) sebagai sebahagian pengguna utama feri berkenaan dalam usaha meningkatkan jumlah penumpang.
Sebagai insentif tambahan, kerajaan menyediakan 10 hari perkhidmatan feri percuma setiap tahun, termasuk semasa sambutan perayaan utama seperti Thaipusam dan Hari Raya Aidilfitri.
Pada 17 Ogos 2023 lepas, perkhidmatan feri baharu Pulau Pinang secara rasminya memulakan perkhidmatan mengangkut penumpang, menggantikan feri lama yang menjadi ikonik negeri tersebut.