fb fb fb fb fb

RM13 juta diperuntuk, perkasa ekonomi kreatif

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA, 30 April - Peruntukan sebanyak RM13 juta tahun ini untuk Dana Kandungan Kreatif (DKK) Industri Muzik, dan Skim Dana Padanan (SDP).

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata, ia mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memperkasa pembangunan ekonomi jingga negara, demi kesejahteraan rakyat.

"Permohonan DKK Industri Muzik 2025 akan mula dibuka pada 30 April 2025 melalui tiga kategori utama. Skim Dana Padanan 2025 (SDP) juga akan dibuka pada tarikh yang sama menawarkan geran padanan 1 dengan 1 hingga RM250,000 bagi setiap permohonan berjaya," kata Fahmi dalam sidang media, di sini.

Permohonan DKK dibuka mengikut tiga kategori utama, Dana Persembahan Muzik; Dana Pemasaran dan Promosi Antarabangsa; serta Dana Pemasaran dan Promosi Domestik.

Dalam perkembangan lain Fahmi berkata, kedudukan pertama Malaysia dalam rangking 'Open Data Inventory' (ODIN) 2024/2025 bukti beberapa langkah reformasi yang dilaksana berjaya membuahkan hasil yang positif.

Selain bangga dengan pengiktirafan di peringkat dunia itu, kerajaan juga mengambil serius laporan daripada audit bagi menambah baik beberapa aspek.

"Jemaah Menteri turut ambil maklum terdapat perkara dapat ditambah baik selepas kita teliti laporan dari audit. Ditunjukkan ada dua aspek perlu diteliti iaitu "coverage" dan "openness"," katanya.

Semalam, Jabatan Perangkaan memaklumkan buat julung kalinya, Malaysia mengungguli kedudukan teratas dalam ranking ODIN 2024/2025 daripada 169 negara lain selepas mencapai skor keseluruhan 90. Ia melonjak secara ketara berbanding pada kedudukan ke 67 dua tahun lalu.

TETITIA YUSOFF