SHAH ALAM, 30 April – Kerajaan menerusi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan sebanyak RM46 juta bagi proses baik pulih rumah dan infrastruktur awam yang terjejas dalam insiden letupan dan kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya pada 1 April lepas.
Menteri KPKT, Nga Kor Ming, berkata RM40 juta daripada jumlah itu disalurkan menerusi Tabung Amanah Bencana Perumahan Negara bagi membaik pulih rumah yang terjejas.
Manakala RM6 juta lagi diperuntukkan untuk kerja-kerja pemulihan infrastruktur awam melalui Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT), Jabatan Landskap Negara (JLN), dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).
"Terdapat tiga kategori kerosakan rumah yang telah dikenal pasti. Untuk rumah yang rosak teruk dan perlu dibina semula, kos siling ditetapkan RM300,000.
"Bagi yang tidak perlu dibina semula, tetapi rosak melebihi 40 peratus, kos baik pulih adalah RM150,000. Dan bagi kerosakan bawah 40 peratus, kita tetapkan siling sebanyak RM30,000."
Beliau turut memaklumkan bahawa kerja pembinaan semula rumah akan dikendalikan oleh Sime Darby Property sebagai pemaju asal kawasan Taman Putra Harmoni, manakala Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) akan menumpukan kerja baik pulih di kawasan Kampung Kuala Sengkang Baru.
Kedua-dua pihak dibenarkan memasuki tapak bermula esok, dan kerja pembinaan akan dimulakan terhadap unit-unit kediaman dalam radius 100 meter dari kawasan kejadian.
Tempoh keseluruhan bagi pembinaan semula dan kerja baik pulih ini dijangka mengambil masa 24 bulan, mengikut Akta Pemajuan Perumahan (Akta 118).
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam.
Sebelum ini, Kerajaan Selangor mengesahkan bahawa 219 unit rumah terjejas dalam insiden tersebut, melibatkan 81 unit yang mengalami kerosakan melebihi 40 peratus, dan 138 unit yang mengalami kerosakan kurang daripada 40 peratus.