ALOR SETAR, 6 Ogos -Empangan Muda di Kedah merekodkan jumlah takungan air sekitar 33.84 peratus setakat semalam.
Manakala dua lagi empangan di Kedah masih mencatatkan jumlah takungan air melebihi paras 50 peratus iaitu Empangan Pedu, 53.34 peratus; dan Empangan Ahning, 58.58 peratus.
Cawangan Komunikasi Korporat Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dalam kenyataan berkata, secara keseluruhan setakat semalam jumlah takungan semasa di ketiga-tiga empangan pada tahun ini iaitu 789.06 juta meter padu bersamaan 639,694 ekar kaki.
"Ia lebih tinggi berbanding 633.42 juta meter padu bersamaan 513, 306 ekar kaki, tahun lalu," katanya menerusi kenyataan itu.
Pada masa kini pelepasan air empangan sedang dilaksanakan dengan kadar pelepasan sebanyak 3,500 kaki padu sesaat bagi memenuhi keperluan penanaman padi Musim 1/2025 di Kawasan Muda dan keperluan domestik serta industri di Negeri Kedah dan sebahagian selatan Perlis.
"Hingga 29 Julai lalu, kemajuan aktiviti penanaman padi telah mencapai 99,832 hektar atau 99.2 peratus tanam dan 6,906 hektar atau 6.9 peratus daripadanya telah berbunga.
"Manakala kawasan seluas 21 hektar atau 0.02 peratus berada pada peringkat masak," menurutnya lagi.
Sehubungan itu, berdasarkan unjuran yang dibuat, takungan Empangan Pedu akan berada pada paras 62 peratus atau 542,000 ekar kaki pada penghujung September ini.
Unjuran tersebut turut menunjukkan takungan semasa di Empangan Pedu masih mampu memenuhi bekalan pengairan bagi menjayakan penanaman padi Musim 1/2025 termasuk permintaan keperluan domestik dan industri di Kawasan Muda.
Pelepasan air dari empangan lazimnya dilakukan dalam usaha memenuhi keperluan air pengairan dan bekalan air domestik.