KUALA LUMPUR, 6 Ogos -Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus komited memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai teras pembangunan bakat negara,
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud berkata, ia selaras dengan aspirasi menjadikan Malaysia sebagai negara maju berteraskan ekonomi berkemahiran tinggi.
“TVET bukan lagi pilihan kedua. Ia adalah laluan utama yang terbukti mampu melahirkan tenaga mahir dan bakat berkualiti tinggi yang boleh bersaing di peringkat antarabangsa. Ekosistem TVET negara telah dibangunkan secara menyeluruh untuk menyokong pertumbuhan bakat ini," katanya semasa Majlis Pelepasan Rasmi (flag-off) Pasukan Robotik POLYCC yang akan mewakili Malaysia ke Kejohanan 30th FIRA RoboWorld Cup and Summit 2025 di Daegu, Korea Selatan, dari 11 hingga 15 Ogos ini.
Jelasnya, pendedahan pelajar kepada pertandingan antarabangsa seperti itu juga dapat memperkukuh keyakinan diri, memperluas pengetahuan teknikal dan budaya, serta membina jaringan global yang penting bagi perkembangan kerjaya masa hadapan.
Datuk Mustapha juga yakin bahawa penyertaan aktif pelajar dalam platform seperti ini akan menyumbang secara langsung kepada pembangunan tenaga kerja mahir dan inovatif, serta melonjakkan kedudukan Malaysia dalam bidang teknologi dan TVET.
"Mereka bukan sahaja akan bertanding, tetapi juga berperanan sebagai duta kecil negara. Mereka membawa imej Malaysia dan POLYCC, dan kami berharap mereka akan mencipta kandungan kreatif semasa di sana bagi menunjukkan kepada rakyat Malaysia bahawa TVET mampu menjangkau peringkat global," katanya.
Beliau turut mengumumkan pemberian insentif RM1,000 kepada peserta yang memenangi pertandingan tersebut.
Seramai 16 orang peserta mewakili POLYCC dalam empat (4) kategori pertandingan iaitu HuroCup, Autonomous Car Challenge, Air-Drone Autonomous Race, dan Air-Drone Emergency Service.
Pasukan FIRA POLYCC diwakili empat institusi iaitu Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS), Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS), Politeknik Port Dickson (PPD) dan Politeknik Sultan Ahmad Shah (POLISAS).
Untuk rekod, pasukan Politeknik Port Dickson (PPD) telah dinobatkan sebagai Best Technical Startup Award bagi kategori Innovation and Business dalam kejohanan FIRA RoboWorld Cup 2024 di Maranhao, Sao Luiz, Brazil.
Manakala pasukan Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS) dan Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS) pernah mengungguli saingan kategori HuroCup dengan masing-masing memperolehi satu emas, satu perak dan satu gangsa dalam FIRA RoboWorld Cup 2023 yang berlangsung di Wolfenbuttel, Jerman.
FIRA RoboWorld Cup and Summit merupakan antara kejohanan robotik terbesar dunia yang menghimpunkan pasukan terbaik dari seluruh pelosok dunia dalam pelbagai kategori seperti robotik autonomi, AI, dan interaksi manusia-robot.