KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Kementerian Kerja Raya (KKR) menetapkan tempoh maksimum 24 jam bagi menampal lubang di Jalan Persekutuan yang rosak, selaras prosedur operasi standard (SOP) sedia ada.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan, semua pihak yang terlibat dalam penyelenggaraan jalan perlu mematuhi garis masa tersebut.
“Kita beri masa 24 jam untuk tampal jalan berlubang di Jalan Persekutuan.
Aduan lain seperti papan tanda rosak, halangan jalan, lampu jalan, lampu isyarat dan tanah runtuh pula diberi tempoh tindakan maksimum 15 hari bekerja,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli, di Dewan Rakyat, hari ini.
Datuk Seri Ahmad berkata, pematuhan SOP ini penting bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan mengurangkan kemalangan berpunca daripada permukaan jalan yang rosak.
Jelas beliau, antara punca utama kerosakan jalan termasuk cuaca tidak menentu, kenderaan berat melebihi had muatan, jangka hayat jalan, kualiti turapan, bahan bitumen serta kerja utiliti.