KUALA LUMPUR 6 Ogos - Nasib lapan keluarga yang terjejas dalam insiden kebakaran di Pangsapuri Kasturi dan Bandar Sri Permaisuri terus mendapat perhatian, apabila pelbagai pihak tampil menyalurkan bantuan serta sumbangan secara berperingkat.
Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hadir bagi menyampaikan bantuan kewangan kepada semua mangsa sebagai tanda solidariti dan keprihatinan terhadap keluarga yang terkesan.
“Kita ada sedikit sumbangan disampaikan hari ini kepada lapan mangsa, termasuk sumbangan daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Unit rawatan rapi (ICU) dan juga Jabatan Kebajikan Masyarakat. Kebanyakan mereka merupakan penyewa dan hanya seorang pemilik rumah,” ujar beliau ketika program penyerahan sumbangan bencana kebakaran di Dewan Serbaguna Masjid Zaid Thabit Desa Tun Razak, hari ini .
Selain itu, Pusat Khidmat Ahli Parlimen turut menyediakan penempatan sementara di Dewan Serbaguna Masjid Zaid Bin Thabit, Desa Tun Razak bagi menempatkan keluarga yang terjejas.
Bantuan makanan, minuman dan keperluan asas terus diagihkan secara berterusan kepada mangsa serta petugas barisan hadapan yang terlibat dalam operasi bantuan.
Datuk Seri Dr Wan Azizah memaklumkan, rumah milik individu akan melalui proses baik pulih, manakala penyewa akan dibantu mendapatkan penempatan lebih selamat, termasuk pilihan penempatan baharu di rumah pangsa sekitar kawasan berhampiran.
Walaupun sebahagian besar kediaman tidak mempunyai perlindungan insurans, usaha pemulihan tetap diteruskan. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat, Persatuan Penduduk, surau dan komuniti setempat yang bertindak pantas serta memainkan peranan penting dalam mengawal keadaan serta membantu mangsa sejak awal insiden.
Selain bantuan fizikal, beliau turut menekankan perlunya pembaharuan dalam aspek keselamatan rumah pangsa dan PPR, termasuk audit menyeluruh sistem pendawaian dan laluan kecemasan.
“Kita tidak hanya membina rumah, tetapi membina harapan dan keharmonian kehidupan. Insiden seperti ini mesti menjadi titik tolak kepada perubahan dasar perumahan yang lebih bermakna,” katanya.
Tambah beliau, kerjasama antara agensi kerajaan, NGO dan komuniti akan terus diperkukuh untuk membantu dari segi psikososial, pendidikan anak-anak, dan pemulihan komuniti jangka panjang.
Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Bandar Tun Razak komited untuk terus menyalurkan bantuan dan memantau perkembangan mangsa agar mereka dapat kembali bangkit dengan lebih kuat.