SHAH ALAM, 30 April – Selangor menyasarkan lebih 3,000 peserta bakal menyertai Sidang Kemuncak Penjagaan Antarabangsa Selangor 2025 atau SICS 2025, yang dijadual berlangsung dari 9 hingga 11 Oktober di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Sidang kemuncak julung kali itu merupakan antara acara utama di bawah edisi ke-9 Sidang Kemuncak Niaga Selangor, dengan memberi tumpuan khusus kepada pembangunan ekonomi penjagaan.
Menurut Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari, pelancaran awal ini bertujuan memberi pendedahan kepada empat komponen utama SICS 2025, iaitu Care Forum, Care Expo, Care Business Matching dan Care Townhall.
“Kita sasarkan pertama adalah pemain-pemain industri kerana sasaran ataupun tema adalah untuk kita wujudkan hab penjagaan ataupun hab penjagaan Asia-Pasifik dan kita mahu wujudkan peluang untuk usahawan-usahawan dan juga mereka dalam sektor penjagaan bekerja dalam institusi pengajian ataupun NGO untuk kita angkat isu-isu berkaitan penjagaan", katanya demikian lepas merasmikan prapelancaran Sidang Kemuncak Penjagaan Antarabangsa Selangor 2025 di sini hari ini.
Tambah beliau, kerajaan negeri turut membuka penyertaan kepada pelbagai pihak termasuk pemain industri produk dan perkhidmatan berkaitan penjagaan, teknologi, pelabur, penjaga serta orang awam dalam menjayakan SICS 2025.