KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa Kali ke-65 mencatat keunikan tersendiri apabila menghimpunkan peserta daripada pelbagai latar belakang termasuk golongan kurang upaya (OKU).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, kekurangan fizikal tidak menjadi penghalang kerana setiap insan memiliki kelebihan tersendiri yang merupakan kurniaan Allah SWT.
“Benarlah sebagaimana disebut dalam al-Quran bagaimana Allah SWT menjadikan manusia lelaki, perempuan, berbilang bangsa dan kabilah dengan pelbagai keunikan serta kemahiran. Ada yang sempurna, ada yang kurang sempurna dari sudut fizikal, namun Subhanallah, Allah memberi kemampuan menghafal dan membaca al-Quran dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Apresiasi Peserta MTHQA Ke-65 Tahun 1447H/2025M di ibu negara.
Datuk Dr. Mohd Na’im turut menzahirkan penghargaan kepada semua rakan strategik yang menjayakan penganjuran kali ini termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Luar Negeri dan pihak media.
MTHQA ke 65 melibatkan 71 orang peserta dari 49 buah negara termasuklah seorang OKU penglihatan dan autisme masing-masing dari negara Mesir dan Maldives.