fb fb fb fb fb

FOMCA sokong pemantauan harga telur ayam secara proaktif oleh KPDN

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 30 April– Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menyuarakan keyakinan bahawa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mengambil pendekatan lebih proaktif dalam memantau harga runcit telur ayam di pasaran.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif FOMCA, Dr. T. Saravanan, pemantauan menyeluruh perlu dilaksanakan, termasuk pengawasan ketat terhadap Indeks Harga Pengguna (IHP), penguatkuasaan terhadap kenaikan harga bersifat oportunis, serta jaminan bahawa mekanisme penetapan harga kekal telus dan adil.

“FOMCA menyokong dasar baharu ini sebagai langkah ke arah sistem subsidi yang lebih mampan dan bersasar,” katanya ketika ditemui RTM.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa pelaksanaan dasar itu perlu disertai dengan perlindungan menyeluruh kepada golongan rentan, rantaian bekalan yang stabil, dan pemantauan pasaran secara berterusan bagi mengelak ketidaktentuan harga yang membebankan pengguna.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil pada Khamis menegaskan kerajaan akan terus memantau bekalan dan jualan telur ayam bagi memastikan tidak berlaku sebarang gangguan susulan penamatan subsidi bagi barangan itu secara berfasa, bermula esok.

Terdahulu, kerajaan mengumumkan kawalan harga telur ayam akan ditamatkan manakala kadar subsidi dikurangkan daripada RM0.10 kepada RM0.05 sebiji berkuat kuasa esok sebelum dihentikan sepenuhnya pada 1 Ogos ini.

Menurut kenyataan KPKM, keputusan itu dibuat setelah pihak industri memberi komitmen untuk memastikan pengeluaran telur ayam kekal mencukupi dan terjamin selain mengambil kira tempoh kawalan harga serta pemberian subsidi yang terlalu lama adalah tidak mampan bagi kelangsungan industri pengeluar telur tempatan dan kewangan negara.

Jelasnya, pemantauan akan dilaksana secara bersama oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD