IPOH, 6 Ogos - Sebanyak 1,899 tong Gas Petroleum Cecair (LPG) 14 kilogram bernilai RM66,000 dirampas di sebuah stor haram di kawasan Batu Gajah, menerusi Op Gasak 2025.
Menurut Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Datuk Kamaludin Ismail, kesemua tong LPG tersebut dipercayai digunakan untuk aktiviti 'decanting'.
Iaitu, aktiviti memindahkan gas daripada tong bersubsidi ke dalam tangki lain untuk tujuan komersial.
Dalam operasi itu, sebanyak 1,028 tong LPG kosong turut disita.
Jumlah rampasan dianggarkan bernilai 66 ribu ringgit, membabitkan lebih 18 ribu kilogram gas petroleum.
"Kalau kita tengok harga semasa LPG satu kilogram adalah RM1.90 bagi tong 14 kilogram, iaitu harga subsidi.
''Harga sebenar pasaran1 kilogram untuk LPG sekitar RM5, jadi terdapat perbezaan harga sedikit, jadi sindiket ini telah mengambil untung dengan menjual LPG tanpa subsidi, di bawah harga pasaran," katanya.
Seorang lelaki tempatan berusia 53 tahun yang juga pemilik premis, bersama lima pekerja warga asing berusia antara 25 hingga 45 tahun, ditahan bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.##