KUALA LUMPUR, 6 Ogos - Tiga projek baharu manakala, 79 lagi projek sambungan telah diluluskan bawah Program Bekalan Air Luar Bandar (BALB), di Sabah.
Menurut Timbalan Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang, ketika ini, 11 projek berada dalam Fasa Pembinaan dan daripada jumlah tersebut, empat projek dijangka mengalami kelewatan melebihi 12 bulan daripada tarikh asal siap.
Antaranya melibatkan Pembinaan Loji Rawatan Air Ke-2 Pitas, BALB Kawasan Semporna, BALB Kawasan Dewata, Lahad Datu dan BALB Kg. Monggoris, Kota Marudu
"Kementerian sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) sebagai Pegawai Penguasa dalam memantau pelaksanaan projek bagi memastikan projek-projek yang dirancang dapat disiapkan mengikut jadual.
"Penyelarasan dan pemantauan terhadap projek-projek tersebut turut dijalankan secara berkala melalui mesyuarat seperti Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Kementerian (JTPK), Mesyuarat Tindakan Pembangunan Negeri Sabah dan mesyuarat-mesyuarat lain yang berkaitan," katanya ketika menjawab soalan wakil Libaran, Datuk Suhaimi Nasir di Dewan Rakyat, hari ini.
Kesemua projek tersebut telah diluluskan pelanjutan tempoh masa (EOT) oleh Pegawai Penguasa dan Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah disebabkan beberapa faktor luar jangka, termasuk Perintah Kawalan Pergerakan, halangan memasuki tapak, isu pengambilan tanah, cuaca buruk dan banjir serta pindaan rekabentuk dan kerja tambahan.