fb fb fb fb fb

Aplikasi MyJalan terima 39,371 aduan jalan rosak sejak 2023

Foto fail

KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Sejumlah 39,371 aduan berkaitan kerosakan jalan raya telah diterima melalui aplikasi MyJalan sejak ia dilancarkan pada Ogos 2023 sehingga 30 Jun lalu.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata,Daripada jumlah itu, 11,959 aduan atau 30.4 peratus melibatkan Jalan Persekutuan bawah seliaan Kementerian Kerja Raya (KKR).

Manakala 27,412 aduan atau 69.6 peratus lagi adalah jalan bawah seliaan Kerajaan Negeri serta agensi lain.

"Bagi negeri Sarawak sahaja, MyJalan menerima 809 aduan dalam tempoh tersebut. Daripada jumlah itu, 68 aduan adalah di bawah seliaan KKR. Sebanyak 43 telah diselesaikan, manakala 25 aduan lagi sedang dalam tindakan.

“Sebanyak 741 aduan atau 91.6 peratus pula adalah berkaitan jalan bawah pihak lain,” katanya dalam sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli mengenai keberkesanan aplikasi MyJalan dalam menangani aduan di Sarawak.

Mengulas lanjut, Datuk Seri Ahmad berkata, orang ramai kini boleh membuat aduan secara lebih mudah dan efisien, tanpa perlu berada di lokasi kejadian.

Setakat ini, lebih 53,000 pengguna telah memuat turun aplikasi berkenaan melalui Apple Store, Google Play dan Huawei AppGallery.

KKR turut menyeru semua Ahli Parlimen membantu menyebarkan maklumat berhubung aplikasi tersebut agar lebih ramai rakyat mendapat manfaat dalam usaha memastikan jalan raya sentiasa berada dalam keadaan selamat.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN