fb fb fb fb fb

Projek perumahan rakyat wajib patuh prinsip Malaysia Madani

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat skala model Residensi Aman MADANI pada Majlis Pecah Tanah Residensi Aman MADANI di Bandar Sri Permaisuri di sini / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Semua projek perumahan rakyat berskala besar perlu dibina dengan mematuhi prinsip Malaysia MADANI yang bertunjangkan pembangunan holistik dan berpusatkan rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, antara komponen asas yang ditetapkan kerajaan ialah penyediaan kemudahan asas, infrastruktur pendidikan menyeluruh, termasuk pembinaan sekolah vertikal dalam kawasan perumahan.

“Semua konsep perumahan, arahan saya jelas. Terutama rumah besar yang 3,500 unit ke atas mesti sediakan prasarana sekolah. Ada sekolah menengah, sekolah rendah. Mesti ambil beberapa blok di situ untuk vertical school.

Pembinaan satu blok kediaman boleh diteruskan, tetapi blok seterusnya mesti ditangguhkan sekiranya syarat seperti penyediaan sekolah tidak dipenuhi,” katanya.

Menurut beliau, pembangunan sekolah vertikal dalam kawasan kediaman bukan sahaja menjimatkan kos, malah memberi keselesaan kepada murid dan waris.

Beliau menambah, sekolah vertikal juga perlu dilengkapi lif khas untuk kegunaan guru, kakitangan dan pelajar.

Datuk Seri Anwar berkata demikian semasa berucap pada Majlis Pecah Tanah Residensi Aman Madani di Bandar Tasik Permaisuri, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa keperluan membina sekolah vertikal tidak seharusnya dijadikan alasan untuk melengahkan pelaksanaan atau penyempurnaan projek perumahan berkenaan.

“Kita harus rasa tanggungjawab, fokus kepada kalangan tersisih, yang kita sebut sebagai miskin bandar.

Mereka lebih ramai daripada miskin desa dari segi jumlahnya,” katanya.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN