KUALA LUMPUR, 6 Ogos -Harga pasaran ayam dilaporkan stabil sejak penamatan subsidi yang berkuat kuasa pada 1 November 2023.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Dr Fuziah Salleh berkata sebelum penamatan subsidi, pasaran ayam berdepan masalah kawalan harga meskipun kerajaan telah menetapkan harga kawalan dan bersubsidi.
Beliau berkata, kementeriannya memantau harga ayam dan telur setiap hari bagi memastikan langkah penarikan subsidi tidak menjejaskan kestabilan harga dan bekalan. Pemantauan dilaksanakan menerusi pengumpulan data harian di seluruh negara.
Katanya, fokus diberikan kepada pengawalan kos pengeluaran dengan membanteras kartel makanan ayam yang menyumbang 70 peratus daripada kos pengeluaran.
"Daripada 1 November 2023, kita di KPDN mengambil data berkenaan dengan harga ayam. Sampai hari ini, setiap hari. Itu untuk memastikan bahawa ianya benar-benar berkesan. Tak ada subsidi. Kita tarik subsidi tapi kita kawal dia punya bekalan dan sepanjang rantaian itu.
"Kemudian kita teliti dan kita periksa harga ayam itu setiap hari. Dan kita tengok pada hari ini harga ayam stabil dan ada yang rendah lagi. Begitu juga apabila subsidi telur itu ditarik. Dan kita tengok telur tidak ada masalah dengan bekalan. Kita juga tidak ada masalah dengan harga," katanya di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) berhubung mekanisme pelaporan dan pemantauan oleh Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) bagi memastikan langkah intervensi kos sara hidup memberi impak kepada pengguna serta indikator pencapaian keberkesanannya.