fb fb fb fb fb

Pengguna elak bayar tol akan dikesan dan dikenakan tindakan

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 6 Ogos - Individu yang cuba mengelak daripada membayar tol tetap akan dikesan dan dikenakan tindakan.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, menjelaskan berhubung kebimbangan mengenai pengguna jalan raya yang mungkin cuba mengelak daripada membayar tol susulan pelaksanaan sistem kutipan tol tanpa palang atau Multi-Lane Free Flow (MLFF).

Jelas beliau, MLFF akan menggunakan gabungan teknologi Radio Frequency Identification (RFID) dan Automatic Number Plate Recognition (ANPR), iaitu sistem berasaskan penglihatan komputer yang mampu membaca nombor plat kenderaan secara automatik ketika melalui tol.

"Oleh itu, mana-mana pihak yang tidak membuat pembayaran akan dikesan. Ini kerana semua nombor pendaftaran kenderaan yang melalui gantri berkaitan akan direkodkan. Mereka yang membuat pembayaran tidak akan menghadapi sebarang masalah, manakala yang gagal membayar akan dikenal pasti dan diberikan notis untuk menjelaskan bayaran.

"Setelah sistem ini dilaksanakan sepenuhnya, kaedah penguatkuasaan tertentu akan diperkenalkan, termasuk kemungkinan sekatan pembaharuan cukai jalan dan lain-lain tindakan susulan," ujar beliau bagi menjawab soalan tambahan wakil Tanjung Manis, Yusuf Abd Wahab di Dewan Rakyat, hari ini.

Pelaksanaan MLFF dijangka akan meningkatkan kelancaran trafik di lebuh raya serta mengurangkan kesesakan di plaza tol.

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN