PENGKALAN CHEPA, 30 April – Hampir 4,000 kursus kemahiran ditawarkan oleh lebih 1,600 institusi latihan kemahiran kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menerusi portal UP_TVET.
Menurut Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Wilayah Timur, Ts Zulkifli Mat Daud, portal tersebut memudahkan permohonan dan menyediakan maklumat komprehensif tentang kursus Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), sekali gus menggalakkan lebih ramai pelajar menyertai aliran tersebut.
“Portal UP_TVET dibuka sejak 14 April lalu dan telah menerima lebih 100,000 pelayar.
"Kami menyasarkan sebanyak 500,000 pelawat menjelang tarikh tutup permohonan pada 15 Mei nanti,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jerayawara UP_TVET Tahun 2025 Peringkat Negeri Kelantan di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kota Bharu, di sini.
Beliau menjelaskan, dua kategori permohonan dibuka melalui platform itu iaitu UP_TVET Perdana dan UP_TVET Fleksibel, membolehkan pemohon memilih laluan yang sesuai sama ada melalui kursus sepenuh masa atau pendek secara fleksibel.
Tambah beliau, pihaknya giat menjalankan promosi di seluruh negara, termasuk di Semenanjung, Sabah dan Sarawak melalui program jerayawara bersama guru bimbingan, kaunseling dan guru TVET.
“Kita sedang melaksanakan promosi secara berterusan di seluruh negeri melalui JPK Wilayah, termasuk jerayawara seperti ini bersama guru bimbingan, kaunseling dan guru TVET,” ujarnya.
Portal UP_TVET berperanan sebagai platform berpusat untuk permohonan kursus yang ditawarkan oleh 12 kementerian dan agensi swasta di seluruh negara.
Menjelang 2030, kerajaan menyasarkan 60 peratus lepasan SPM memasuki aliran TVET serta peningkatan 35 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam sektor ekonomi masa depan.
Setakat Disember lalu, kadar kebolehpasaran graduan TVET mencatat purata 94 peratus, membuktikan keperluan terhadap tenaga kerja mahir di negara ini terus meningkat.