fb fb fb fb fb

Lelaki meninggal dunia selepas sesak nafas daki Bukit Larut

Foto RTM

TAIPING, 30 April – Seorang lelaki berusia 50 tahun meninggal dunia selepas mengalami sesak nafas ketika melakukan aktiviti pendakian di Bukit Larut, di sini pagi tadi.

Mangsa, Ahmad Saharim Saudi, merupakan salah seorang daripada 123 peserta yang menyertai aktiviti pendakian anjuran Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Kangsar serta Larut, Matang dan Selama.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut kira-kira pukul 10.40 pagi.

“Setibanya di lokasi, mangsa didapati berada di kawasan Checkpoint 4 dan telah diberikan rawatan awal oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), namun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.

Mayat mangsa kemudiannya dibawa turun dari bukit dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD