fb fb fb fb fb

MAIK salur RM4.5 juta kepada YIK tahun 2025

Foto BERNAMA

KOTA BHARU, 30 April – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) telah menyalurkan sumbangan kewangan berjumlah RM4.5 juta kepada Yayasan Islam Kelantan (YIK) bagi tahun ini.

Yang Dipertua MAIK merangkap Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM2.5 juta digunakan untuk menampung emolumen guru-guru serta pelaksanaan pelbagai aktiviti berkaitan pendidikan.

Beliau berkata, baki daripada jumlah itu pula diperuntukkan bagi menampung kos makan dan minum pelajar di sekolah-sekolah Maahad Tahfiz YIK serta Maahad Sains Tok Guru.

“Sejak tahun 2014, sebanyak RM29 juta telah diagihkan kepada YIK hasil sumbangan MAIK. Sebenarnya, pendidikan melalui YIK ini merupakan sebahagian besar daripada belanjawan MAIK setiap tahun, yang mencecah sekitar RM20 juta,” katanya demikian dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Yang Berhormat Mulia Tengku Temenggong Kelantan bersama pelajar-pelajar Maahad Tahfiz Yayasan Islam Kelantan (YIK), di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan pelbagai bentuk bantuan dan program telah disediakan oleh pihak MAIK bagi membantu para pelajar. Antaranya termasuklah pemberian Biasiswa Tengku Anis (BTA) MAIK kepada pelajar asnaf fakir miskin melalui bantuan kewangan bulanan bagi mereka yang layak.

Selain itu, MAIK turut menyalurkan bantuan untuk kerja baik pulih bangunan serta pembelian perabot bagi sekolah dan asrama yang memerlukan.

Sejak tahun 2016, lebih RM18 juta telah dibelanjakan untuk tujuan baik pulih dan pembelian perabot yang melibatkan 93 buah sekolah, menerusi peruntukan wang ehsan Kerajaan Negeri Kelantan.

Tambah beliau, MAIK juga telah membina bangunan tambahan tiga tingkat di lapan buah sekolah YIK termasuk di Maahad Ahmadi Tanah Merah yang dijangka siap tahun ini. Pembinaan bangunan tambahan bagi Maahad Rahmaniah Kuala Krai pula akan bermula dalam tahun ini juga.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD