fb fb fb fb fb

Gagal pamer lesen, bot tunda ditahan di perairan Sarawak

Foto Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Negeri Sarawak

KUCHING, 30 April- Sebuah bot tunda bersama dua kru warga tempatan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sarawak selepas dikesan melanggar syarat sah lesen bawah Akta Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 pada Isnin lalu.

Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairi Abdul Aziz dalam satu kenyataan memaklumkan, tangkapan dibuat semasa rondaan Op TIRIS 3.0 dan Op PERMAI 01/2019, kira-kira 10 batu nautika utara Tanjung Marou, sekitar pukul 10.20 malam.

"Hasil pemeriksaan mendapati vesel dikendalikan dua kru lelaki yang berumur antara 41 dan 51 tahun itu gagal mempamerkan Domestic Shipping License di atas vesel semasa diperiksa," menurut kenyataan itu.

Vesel tersebut turut didapati gagal melaporkan pertukaran nakhoda dan beroperasi tanpa kru yang mencukupi.

Semua kru dan vesel berkenaan diiring ke Jeti Kompleks Tun Abang Salahuddin dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI