fb fb fb fb fb

APIUM terima dana RM64,000 daripada AFFIN Islamic Bank, perkukuh penyelidikan syariah

Dekan APIUM (kiri) menerima replika cek dari Affin Islamic, disaksikan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UM

KUALA LUMPUR, 30 April- Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (APIUM) terus mengukuhkan peranannya sebagai pemangkin ilmu dan penyelidikan apabila menerima dana sumbangan berjumlah RM64,000 daripada AFFIN Islamic Bank Berhad.

Sumbangan tersebut merangkumi RM49,000 bagi geran penyelidikan bertajuk “The Concept of al-I‘ānah ʿAlā al-Māṣīyah in Shariah and Its Application in Islamic Banking Industry in Malaysia” dan RM15,000 lagi sebagai tajaan utama Persidangan Antarabangsa Jurnal Syariah (JSIC) 2025, yang dijadualkan berlangsung pada 6 Mei ini.

APIUM, menerusi satu kenyataan memaklumkan, majlis penyerahan disempurnakan Ketua Jabatan Strategi dan Operasi AFFIN Islamic Bank, Jozaimah Johan Ali, mewakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Paduka Syed Mashafuddin Syed Badarudin. Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UM, Profesor Ir. Dr. Kaharudin Dimyati.

Geran penyelidikan itu akan dikendalikan oleh pakar-pakar dari Jabatan Syariah dan Ekonomi, Jabatan Syariah dan Pengurusan, serta Jabatan Fiqh dan Usul APIUM. Kajian itu memberi tumpuan kepada konsep al-I‘ānah ʿAlā al-Māṣīyah, yang sering menjadi polemik dalam dunia muamalat moden, khususnya berkaitan pelaksanaan kontrak kewangan Islam dalam ekosistem perbankan dwisistem di Malaysia.

"Dalam masa sama, tajaan turut disalurkan untuk JSIC 2025 yang bertemakan “Integration of Shariah and Artificial Intelligence in Addressing Contemporary Issues”. Persidangan ini bakal menghimpunkan ilmuwan Syariah dari seluruh dunia, membuka wacana baharu dalam penerapan kecerdasan buatan (AI) dalam menyelesaikan isu kontemporari berasaskan prinsip Syariah.

"Kerjasama tersebut dilihat sebagai simbol sinergi antara dunia akademik dan sektor industri kewangan Islam, sekali gus memperkukuh matlamat pembangunan penyelidikan berimpak tinggi yang beretika, telus dan mampan," menurut kenyataan APIUM.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE