fb fb fb fb fb

Sultan Perak berkenan sampaikan sijil PSAG 2024 kepada 320 graduan

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah (tiga, kiri) berkenan berangkat ke Majlis Konvokesyen ke-28 Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (PSAG) Tahun 2024, Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang Malaysia di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR, 30 April - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyampaikan sijil kepada 320 graduan lulusan Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (PSAG) 2024, pada Majlis Konvokesyen ke 28.

Baginda turut berkenan menyampaikan hadiah lulusan terbaik bagi lima mata pelajaran, termasuk hadiah lulusan terbaik keseluruhan PSAG kepada empat graduan cemerlang.

Hadiah Lulusan Terbaik dianugerahkan kepada empat penerima, dengan masing-masing menerima RM1,000 beserta sijil bagi mata pelajaran Keterangan, Amalan Profesional, Kertas Am, Prosedur Sivil dan Prosedur Jenayah.

Hadiah Lulusan Terbaik keseluruhan PSAG 2024 diungguli graduan Jason Lee Poh Hong, yang menawarkan hadiah wang tunai RM10,000 beserta sijil.

Jason turut menerima Hadiah Lulusan Terbaik bagi mata pelajaran Amalan Profesional.

Manakala, Deepashini A/P Kanagarajah mengungguli dua anugerah Hadiah Lulusan Terbaik bagi mata pelajaran Keterangan dan Prosedur Jenayah.

Majlis penyampaian sijil profesion guaman yang berlangsung di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur itu, turut dihadiri ibu bapa serta ahli keluarga para graduan.

Turut hadir pada majlis itu ialah, Pengerusi Kelayakan Profesion Undang-Undang Malaysia merangkap Peguam Negara, Datuk Dusuki Mokhtar dan ahli lembaganya serta Pengarah PSAG, Nik Rosmilawati Nik Yusof.

Daripada 1,058 calon yang menduduki PSAG 2024, hanya 320 pelajar atau 30.24 peratus lulus, 44 pelajar atau 4.16 peratus lagi lulus bersyarat. Manakala, 65.60 peratus atau 694 pelajar pula gagal.

TETITIA YUSOFF