SHAH ALAM, 30 April – Kerajaan Negeri Selangor sedang mengenal pasti senarai mangsa yang terkesan dari segi kesihatan susulan insiden letupan dan kebakaran paip gas di Putra Heights, bulan lepas bagi tujuan penyaluran bantuan rawatan lanjut.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, senarai semak sedang dikumpulkan bagi mengenal pasti penduduk yang memerlukan sokongan rawatan, termasuk kes yang melibatkan rawatan kulit dan kecederaan serius.
Menurutnya, Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar negeri, Jamaliah Jamaluddin telah diarahkan untuk meneliti maklumat lanjut mengenai mangsa yang sedang dirawat di hospital awam seperti Hospital Putrajaya dan Hospital Cyberjaya, serta beberapa hospital swasta termasuk Sunway Medical Centre.
“Kita sedang jalankan siasatan kerana maklumat ini baru diperoleh minggu lalu.
Exco Pelaburan, Perdagangan & Mobiliti, Ng Sze Han juga telah melakukan kunjungan ke beberapa institusi bagi mendapatkan data dan maklumat lanjut.
“Rawatan biasa mungkin tidak menjadi isu, namun terdapat kes yang memerlukan rawatan seperti percantuman kulit kerana ada mangsa yang terbakar sehingga 30 peratus.
"Kosnya tinggi dan memerlukan rawatan jangka panjang. Kita akan bantu sebahagian, bergantung juga kepada perlindungan insurans sedia ada. Segalanya akan diselaraskan oleh YB Jamaliah," katanya.
Tambah beliau, jumlah sebenar penerima bantuan dijangka diputuskan dalam mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri dalam tempoh satu hingga dua minggu lagi.
Datuk Seri Amirudin berkata demikian kepada media selepas Majlis Penyerahan Bantuan Sewa Rumah kepada mangsa insiden kebakaran paip gas Putra Heights di sini hari ini.