TEHRAN, 30 April- Misi Iran ke Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengecam kenyataan Perancis yang didakwa sebagai ancaman untuk mengenakan semula sekatan yang sebelum ini dibatalkan di bawah perjanjian nuklear 2015, lapor media tempatan pada Rabu.
Perancis pada Isnin lalu menyatakan bahawa bersama Jerman dan Britain, mereka "tidak akan teragak-agak walau sesaat" untuk mengaktifkan semula semua sekatan sekiranya keselamatan Eropah terancam oleh aktiviti nuklear Iran.
"Ancaman dan ugutan ekonomi adalah tidak boleh diterima sama sekali," kata misi Iran dalam satu surat yang disiarkan agensi berita ISNA.
Perjanjian nuklear 2015 turut melibatkan China dan Rusia, selain tiga negara Eropah itu. Amerika Syarikat menarik diri daripada perjanjian berkenaan pada 2018 semasa pentadbiran Presiden Donald Trump.
Perjanjian itu membolehkan pihak-pihak terbabit mengaktifkan mekanisme "snapback", yang akan mengembalikan sekatan PBB secara automatik jika Iran didapati tidak mematuhi syarat. Opsyen itu dijangka tamat pada Oktober ini.
Iran dan Amerika Syarikat kini terlibat dalam rundingan tertinggi sejak beberapa tahun, bermula 12 April lalu, bagi merangka perjanjian baharu yang bertujuan menghalang Tehran membangunkan senjata nuklear sesuatu yang dinafikan Iran sebagai balasan terhadap pelonggaran sekatan.
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, minggu lalu menyatakan kesediaan untuk melawat Perancis, Jerman dan Britain bagi mengadakan perbincangan lanjut.
Dalam suratnya, misi Iran ke PBB menegaskan bahawa "diplomasi yang tulen tidak boleh berjalan di bawah ugutan atau tekanan."
"Jika Perancis dan rakan-rakannya benar-benar ikhlas mahu penyelesaian diplomatik, mereka mesti hentikan pendekatan berunsur paksaan," tegas kenyataan itu.-AFP