fb fb fb fb fb

Falsafah pemerintahan baharu ATM, fokus transformasi holistik

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaffar

PORT DICKSON, 30 April- Empat teras falsafah pemerintahan utama digariskan yang akan diguna pakai oleh Panglima Angkatan Tentera (PAT) ke-23.

Menurut Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaffar, empat teras falsafah pemerintahan utama yang digariskan adalah Kesiagaan Operasi, Pelaburan dan Pembangunan Modal Insan yang Holistik, Kelestarian dan Kesejahteraan Kehidupan Warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Memperkukuhkan Diplomasi Pertahanan dan Hubungan Ketenteraan.

Tiga kata keramat iaitu tanggungjawab, kehormatan, pengorbanan akan menjadi teras kepada falsafah pemerintahan tersebut.

"Transformasi yang kita perlukan tidak boleh bersifat luaran atau bersandar kepada kosmetik. Ia menuntut pembaharuan menyeluruh yang bermula dengan cara kita berfikir, membuat keputusan dan membentuk budaya kerja. Kita tidak boleh lagi terikat kepada cara lama atau terus berada dalam zon selesa.

ATM mesti berani memecah kebiasaan, menyesuaikan diri secara progresif dan berkembang setara dengan kehendak zaman. Jika tidak, kita berisiko menjadi lapuk, terasing dan gagal memahami realiti baharu yang dihadapi dunia pertahanan moden," kata Mohd Nizam kepada pemberita, hari ini.

Beliau berucap demikian ketika menyampaikan Perintah Ulung Panglima ATM ke-23, di sini.

Turut menjadi aspirasi beliau untuk melihat ATM terus maju sebagai sebuah angkatan berinovasi, responsif terhadap evolusi ancaman dan realiti geopolitik semasa serta sentiasa dinamik dalam mendepani tuntutan operasi dan strategi kontemporari.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM