Subsidi petroleum dijangka cecah RM40 bilion tahun ini

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong

KUALA LUMPUR, 22 Julai – Subsidi produk petroleum dianggarkan mencecah hampir RM40 bilion tahun ini sekiranya harga pasaran semasa kekal, kata Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong.

RINGKASAN BERITA AI
  • Subsidi bergantung kepada pergerakan harga minyak mentah dunia, kadar pertukaran dan corak penggunaan sebenar.
  • Kerajaan menanggung hampir RM800 juta sebulan pada Jan-Feb, kira-kira RM5 bilion pada Mac-April dan sekitar RM4 bilion pada Mei-Jun.
  • Setiap kenaikan AS$1 setong harga minyak mentah dunia dianggarkan menambah sekitar RM300 juta hasil berkaitan petroleum.
  • Pelaksanaan BUDI Diesel bertujuan memastikan subsidi diesel lebih bersasar serta mengurangkan ketirisan, penyalahgunaan dan penyeludupan.

Beliau berkata anggaran itu bagaimanapun bergantung kepada beberapa faktor termasuk pergerakan harga minyak mentah dunia, kadar pertukaran mata wang serta corak penggunaan sebenar.

Menurutnya, kerajaan menanggung subsidi hampir RM800 juta sebulan bagi petrol RON95 dan diesel pada Januari serta Februari tahun ini, sebelum jumlah itu meningkat kepada kira-kira RM5 bilion sebulan pada Mac dan April.

“Jumlah itu kemudian menyederhana kepada sekitar RM4 bilion sebulan pada Mei dan Jun,” katanya ketika menjawab soalan Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar mengenai implikasi kewangan susulan penetapan harga diesel RM2.10 seliter di seluruh negara yang berkuat kuasa 1 Julai lalu, pada persidangan Dewan Negara hari ini.

“Tanggungan subsidi merupakan perbelanjaan di bawah belanja mengurus (OE) yang dibiayai menerusi sumber hasil kerajaan termasuk hasil cukai, hasil bukan cukai dan terimaan bukan hasil,” katanya.

Beliau menambah, walaupun peningkatan harga minyak boleh meningkatkan perbelanjaan subsidi, ia pada masa sama turut menyumbang kepada peningkatan hasil berkaitan petroleum.

“Setiap perubahan sebanyak AS$1 setong kepada harga minyak mentah dunia dianggarkan memberi impak sekitar RM300 juta kepada hasil berkaitan petroleum kerajaan Persekutuan, tidak termasuk dividen Petronas.

“Peningkatan hasil ini dapat membantu menampung sebahagian tekanan tambahan terhadap perbelanjaan subsidi bahan api,” katanya.

Menurut beliau, pelaksanaan BUDI Diesel merupakan kesinambungan usaha Kerajaan MADANI bagi memastikan subsidi diesel terus dinikmati rakyat secara lebih bersasar, selain mengurangkan ketirisan, penyalahgunaan dan aktiviti penyeludupan yang membebankan kewangan negara.

Pada masa sama, kerajaan turut memantau prestasi kutipan hasil secara berkala bagi memastikan kedudukan kewangan negara terus kukuh serta mampu menampung keperluan perbelanjaan Persekutuan tanpa menjejaskan kedudukan fiskal secara ketara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.