LPB Sabah Fasa 1A dijangka siap pertengahan 2028

Datuk Seri Dr Ahmad Maslan/ RTM

KUALA LUMPUR, 22 Julai- Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah Fasa 1A dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan tahun 2028, dengan kemajuan fizikal keseluruhan projek itu kini mencapai 87.86 peratus.

RINGKASAN BERITA AI
  • Empat pakej kerja Fasa 1A telah siap dan kini memberi manfaat kepada pengguna jalan raya.
  • Sembilan lagi pakej dijangka siap hujung tahun, dengan sasaran penyelesaian menyeluruh Fasa 1A dan 1B pada suku keempat 2030.
  • KKR dan JKR menjalankan pemantauan mingguan di tapak serta penguatkuasaan pelan pemulihan untuk pakej yang mengalami kelewatan.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata sebanyak empat pakej kerja di bawah Fasa 1A telah siap dan kini memberi manfaat kepada pengguna jalan raya.

“Hujung tahun ini, dijangka sembilan lagi pakej akan siap di bawah Fasa 1A. Komitmen Kementerian Kerja Raya (KKR) adalah memastikan baki jajaran disiapkan secara berperingkat dengan sasaran penyelesaian menyeluruh bagi kedua-dua Fasa 1A dan 1B pada suku keempat 2030.

“Ia mengambil kira tempoh lanjutan masa yang telah diluluskan serta pelantikan kontraktor terakhir bagi Pakej 35 di bawah projek LPB Sabah,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Datuk Bobbey Suan di Dewan Negara mengenai kemajuan fizikal terkini serta tempoh siap pelaksanaan LPB Sabah Fasa 1A.

Datuk Seri Dr Ahmad berkata KKR akan terus memastikan pelaksanaan projek berkenaan berjalan mengikut perancangan bagi mencapai sasaran penyiapan ditetapkan.

Menurutnya, pelaksanaan projek itu berpandukan garis masa dan jadual kerja terperinci, manakala Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah sentiasa melaksanakan langkah intervensi termasuk penguatkuasaan pelan pemulihan bagi pakej kerja yang mengalami kelewatan.

“KKR juga menjalankan pemantauan mingguan secara on-site bagi memastikan sasaran penyiapan kekal berada pada landasan yang betul.

“Setakat ini, bagi Fasa 1A, dua projek lewat daripada jadual, tiga mengikut jadual dan dua lagi mendahului jadual. Bagi Fasa 1B pula, tiga projek lewat daripada jadual, tiga mengikut jadual, manakala 11 projek mendahului jadual,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.