fb fb fb fb fb

Subsidi negara dijangka cecah RM81 billion tahun ini - PM

KOTA KINABALU, 4 Oktober - Subsidi negara dijangka mencecah RM81 billion tahun ini, dikeluarkan kerajaan untuk rakyat termasuk elektrik, minyak dan makanan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata walaupun angka itu dilihat tinggi, mengurangkan jumlah subsidi itu tanpa melihat kepada keperluan rakyat bukan satu pilihan kepada kerajaan bagi memastikan rakyat tidak terbeban terutama dengan kos sara hidup masa kini.

Katanya rasionalisasi subsidi yang sedang dilaksanakan kerajaan kini adalah penting dalam memastikan rakyat dapat dibantu dan ekonomi negara sentiasa kekal ampuh.

"Subsidi ini campur tangan kerajaan untuk kurangkan beban rakyat. Subsidi untuk ayam dan telur pula RM3.8 billion, tetapi kurangkan subsidi bukan pilihan kerana ia membebankan rakyat jadi perlu dasar lebih ampuh kurangkan (subsidi) iaitu rasionalisasi subsidi.

Dengan jumlah subsidi (tinggi) tidak ada negara mampu bertahan, akan ada yang kurangkan," katanya berucap merasmikan Konvensyen Pengurusan Hal Ehwal Islam Sempena Ijtimak Perdana Agensi Agama Seluruh Malaysia (IJPAM) 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di sini.

Anwar berkata menerusi langkah rasionalisasi itu subsidi elektrik untuk satu peratus kumpulan rakyat terkaya telah dibatalkan, namun ia tidak akan membebankan kerana 99 peratus rakyat tidak akan terkesan.

Perdana Menteri berkata baru-baru ini beliau juga meminta Lembaga Tabung Haji (TH) supaya mengkaji semua subsidi bagi kos mengerjakan haji untuk golongan kaya yang mana kos subsidi golongan itu akan dapat dimanfaatkan semula kepada golongan yang lebih memerlukan.

"Rasionalisasi ini saya minta kepada masyarakat Muslim, paling kaya tidak diberikan subsidi bagi bantu jemaah lain ia diterima baik. Ada 400 orang jemaah yang layak subsidi (haji) menolak subsidi supaya tidak bebankan orang lain bayar kos haji," katanya.

(Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan
Konvensyen Pengurusan Hal Ehwal Islam Sempena
Ijtimak Perdana Agensi Agama Seluruh Malaysia (IJPAM) 2023
di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah/FOTO BERNAMA)

IJPAM 2023 yang berlangsung dari 30 September hingga esok menyaksikan penyertaan 1,837 peserta daripada pelbagai agensi hal ehwal Islam peringkat Persekutuan dan negeri dari seluruh negara.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan  Mohd Ali dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Nai'm Mokhtar.

Dalam pada itu, Perdana Menteri memberi jaminan hubungan kerjasama erat dengan Kerajaan Sabah akan terus ditingkatkan khususnya dalam pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Katanya, sejak meneraju kerajaan, pihaknya sedaya upaya melaksanakan berkaitan semua yang telah termaktub dalam MA63.

"Bapa-bapa kita pada tahun 1963 dalam Ma63 telah berjanji melaksanakan beberapa perkara hasil muafakat bersama-sama pemimpin Sabah dan Sarawak serta Semenanjung Malaysia, jadi tugas generasi seperti kami sudah tentulah melaksanakannya.

Dalam pada itu, Anwar turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah sebahagiannya dari Pakatan Harapan yang menarik balik saman terhadap Kerajaan Persekutuan berhubung isu pelaksanaan MA63.

Baru-baru ini, Pakatan Harapan Sabah menarik balik saman pemula yang difailkan terhadap Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah berhubung isu tuntutan 40% hasil Sabah di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 3 Jun 2022.

Menurut kenyataan bersama 12 plaintif PH, mereka melihat terdapat kemajuan berhubung perkara tersebut, khususnya menerusi penubuhan Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.

Menerusi jawatankuasa teknikal tersebut, dua daripada tiga deklarasi yang dituntut mereka telahpun dipersetujui dan akan dilaksanakan nanti.


 

Media Baharu