KUALA LUMPUR, 18 Disember - Kerajaan tidak bercadang untuk menggantikan subsidi bahan api di bawah inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) kepada rebat tunai.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, langkah itu dibimbangi boleh mengubah tujuan asal BUDI95 serta menjejaskan keberkesanan penyasaran subsidi kepada kumpulan yang masih bergantung kepada bahan api sebagai keperluan harian dan sumber pendapatan.
"Buat masa ini, kerajaan tidak bercadang untuk menggantikan subsidi bahan api di bawah BUDI95 dengan rebat tunai sebagai penggalak peralihan kepada kenderaan elektrik (EV) atau hibrid.
"Ini memandangkan langkah tersebut hanya akan mengubah tujuan asal BUDI95 dan dikhuatiri boleh menjejaskan keberkesanan penyasaran subsidi kepada kumpulan yang masih bergantung kepada jenis kenderaan berasaskan enjin pembakaran dalam (internal combustion engine)," jelas beliau dalam sesi soal jawab di Dewan Negara.
Keberkesanan pelaksanaan inisiatif itu turut dinilai berdasarkan keupayaannya mengurangkan ketirisan subsidi, melindungi kumpulan sasar, serta mengekalkan kestabilan pelaksanaan dari segi pengalaman pengguna.
Tambahnya, kerajaan akan terus memantau pelaksanaan inisiatif tersebut dan membuat penambahbaikan sekiranya perlu bagi memastikan BUDI95 berkesan, bersasar dan mampan dalam jangka panjang.