KUALA LUMPUR, 18 Disember - Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Pertubuhan Penulis Sekolah Rumput menganjurkan Jualan Gudang Mega DBP bermula 20 hingga 29 Disember ini di Kompleks Dewan Bahasa dan Pustaka Hulu Kelang, Selangor.
Jualan berkenaan menghimpunkan buku dari DBP bersama 14 penerbit utama selain menawarkan pelbagai judul buku dengan diskaun istimewa antara 50 hingga 90 peratus.
Jualan tersebut juga merangkumi buku teks, akademik, novel popular serta buku kanak-kanak.
Presiden Pertubuhan Penulis Kuala Lumpur, Ishak Hamzah berkata, penganjuran jualan dan pameran buku seumpama itu penting dalam memastikan pembangunan ilmu negara berjalan seiring, khususnya melalui pengukuhan peranan pembaca dan penulis.
“Masyarakat perlu mempunyai karya-karya yang baik untuk dibaca, manakala penulis pula memerlukan pasaran untuk terus menulis. Jadi, amat penting untuk kita membangunkan pembaca dan juga penulis.
"Pada masa sama, kita kini sentiasa memerlukan lebih ramai penulis, khususnya dalam menghadapi cabaran era digital. Oleh sebab itu, pesta buku dan pameran buku amat diperlukan agar penerbit memperoleh pasaran yang baik. Apabila pasaran baik, orang ramai akan datang membeli buku," katanya ketika ditemui selepas menjadi tetamu Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media.
Menurut beliau lagi, jualan gudang itu turut menyediakan pelbagai aktiviti termasuk kuiz dan cabutan bertuah selain kemudahan lengkap seperti ruang dewan yang luas, tempat letak kenderaan serta surau.
Jualan berkenaan disasar kepada ibu bapa, pelajar dan orang ramai sempena cuti persekolahan, dengan tawaran harga buku serendah RM1, sekali gus memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat mendapatkan bahan bacaan berkualiti.-RTM