fb fb fb fb fb

Wanita perlu libatkan diri dalam bidang STEM

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 18 Disember - Golongan wanita diseru menyertai bidang  Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi menampung kekurangan tenaga kerja, sekali gus memastikan kelangsungan daya saing negara dalam sektor strategik berkenaan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata,  walaupun penyertaan wanita pada peringkat awal dilihat memberangsangkan, namun jumlah tersebut menunjukkan pengurangan apabila melibatkan tahap yang lebih tinggi dalam kerjaya atau kepimpinan.

Menurut beliau, pelbagai langkah proaktif dan bersasar telah diambil bagi memperkukuh dan mengekalkan penglibatan golongan itu dalam bidang STEM.

"Kerajaan mengambil langkah memperluas penyertaan wanita dalam bidang STEM melalui pelbagai inisiatif termasuk pemadanan pekerjaan, program bimbingan graduan, latihan peningkatan kemahiran semula atau reskilling, serta usaha khusus bagi meningkatkan penglibatan wanita dalam sektor strategik.

"Namun begitu,  akses semata-mata tidak mencukupi, sebaliknya tumpuan juga diberikan kepada aspek pengekalan, pembangunan kerjaya dan kepimpinan wanita," katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan Jabatan pembangunan Wanita (JPW) di bawah kementerian terus melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan kemahiran, literasi digital serta penglibatan wanita dalam ekosistem teknologi dan ekonomi digital.

“Sehingga Oktober tahun ini, JPW telah melaksanakan sebanyak 40 program berkaitan digital dan STEM yang melibatkan lebih 6,000 wanita di seluruh negara,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Senator Pele Peter Tinggom di Dewan Negara.

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI