KUALA LUMPUR, 18 Disember - Seramai 36 kakitangan Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerima sumbangan barangan keperluan persekolahan hasil kerjasama erat Kelab Kebajikan dan Sukan (KKS) RTM dan Masjid Muhammadi Angkasapuri, bersempena Program Bantuan "Back to School", pada Rabu .
Program ini dilaksanakan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan KKS dalam memperkukuh kebajikan warga kerja RTM.
Pengerusi KKS, Ismail Seman, berkata sumbangan berkenaan bertujuan meringankan beban ibu bapa khususnya golongan berpendapatan rendah, di samping membantu persediaan persekolahan anak-anak bagi sesi persekolahan 2026.
“Program pada hari ini merupakan program tahunan kelab melalui inisiatif Back to School yang dilaksanakan setiap tahun. Program ini bertujuan membantu kakitangan RTM yang dikategorikan sebagai B40.
"Bagi tahun ini, kelayakan ditetapkan kepada penerima dengan gaji pokok RM4,000 dan ke bawah, yang diklasifikasikan sebagai asnaf dan kategori B40,” katanya pada Program Bantuan "Back to School" di Masjid Muhammadi Angkasapuri, di sini.
Pemilihan penerima dibuat melalui proses saringan teliti bagi memastikan bantuan disalurkan secara bersasar dan berimpak, selari dengan prinsip kebajikan dan keprihatinan sosial organisasi.
Sementara itu, penerima sumbangan, Mohd Khairul Nizam Sukor, meluahkan rasa syukur atas inisiatif ini yang disifatkan amat membantu dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat.
“Dalam keadaan sekarang, bantuan ini amat membantu terutama bagi keluarga yang mempunyai anak ramai, khususnya untuk membeli barangan keperluan dan alat tulis persekolahan. Saya merasakan inisiatif ini sangat baik dan memberi manfaat kepada penerima,” katanya.
Seorang lagi penerima, Anis Anzian, turut menyifatkan bantuan tersebut amat bermakna dalam persiapan persekolahan anak-anak.
“Bantuan ini sangat membantu kami yang berpendapatan rendah dalam membuat persiapan persekolahan anak-anak, termasuk membeli kelengkapan pakaian sekolah,” katanya.
Selain bantuan pendidikan, bantuan musibah banjir turut disalurkan kepada empat keluarga kakitangan RTM yang terjejas, sebagai tanda solidariti dan sokongan berterusan organisasi terhadap warga kerjanya.
Seorang penerima bantuan banjir Noor Farizaton Hazain@Taharim, memaklumkan sumbangan tersebut sedikit sebanyak membantu meringankan beban keluarga.
“Banyak perabot rumah rosak akibat banjir termasuk sofa dan tilam yang perlu diganti. Kos yang diperlukan agak tinggi dan bantuan ini sedikit sebanyak membantu kami menampung perbelanjaan tersebut,” katanya.
Program bantuan seumpama ini mencerminkan komitmen berterusan KKS RTM bersama rakan strategik dalam memperkukuh kesejahteraan warga kerja, selari dengan nilai keprihatinan sosial dan tanggungjawab organisasi.