fb fb fb fb fb

Seorang maut, dua cedera dalam kemalangan jalan raya

Foto / JBPM

LIMBANG, 18 Disember - Seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera dalam satu kemalangan jalan raya melibatkan sebuah motosikal dan sebuah kereta jenis MPV di Taman Tasik Bukit Mas, Limbang, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Parum Niot, berkata, Pusat Gerakan Operasi Sarawak, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 7.40 pagi.

Sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang digerakkan ke lokasi bersama sebuah jentera Pemadam dan Penyelamat (FRT) dan Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS).

Penunggang motosikal, Mohd Haswanddy Sahari, 26 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari arah Limbang menghala ke Jalan Kubu.

Motosikal mangsa telah merempuh sebuah kenderaan yang melawan arus untuk membuat pusingan U.

Dua penumpang MPV, masing-masing seorang lelaki dan seorang wanita yang mengalami kecederaan pula telah dibawa ke hospital menggunakan ambulans untuk rawatan lanjut.

Kes disiasat dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-RTM

MOHD NORIZWAN BIN SAMAN