fb fb fb fb fb

Subsidi bersasar sedang dirangka pastikan bantuan hanya dinikmati mereka yang layak

(Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen
Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat)

KUALA LUMPUR, 18 Julai – Bagi memastikan tiada pihak tercicir dan pemberian subsidi hanya dinikmati oleh mereka yang disasar, kerajaan sedang merangka mekanisme yang sesuai untuk pelaksanaan subsidi secara bersasar.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pelbagai perkara sedang diperincikan berhubung mekanisme pelaksanaan subsidi bersasar agar peruntukan kerajaan itu hanya boleh dinikmati mereka yang layak, tidak termasuk warga asing.

“Memang kerajaan kerugian besar akibat subsidi tersasar dan tidak bersasar ini kerana semua pihak menikmati subsidi yang kita sepatutnya dikhususkan untuk golongan yang berhak untuk dapat, iaitu golongan miskin,” katanya Perdana Menteri ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau turut menegaskan bahawa tiada subsidi yang ditarik balik sejak bantuan itu mula dilaksanakan dan pemberian subsidi itu tetap diteruskan dalam usaha mengurangkan tekanan harga dihadapi Keluarga Malaysia.

Tegas Perdana Menteri, kerajaan komited dalam membantu rakyat menangani kenaikan kos sara hidup dengan meningkatkan pemberian subsidi sebanyak RM77 bilion pada tahun ini berbanding peruntukan asal sebanyak RM31 bilion.


(Foto fail) 

“Komitmen kerajaan dalam membantu Keluarga Malaysia menangani kos sara hidup dibuktikan dengan meningkatkan pemberian subsidi iaitu sebanyak RM77 bilion pada tahun ini dan mungkin akan bertambah lagi berbanding peruntuk asal sebanyak RM31 bilion pada tahun 2022.

“Subsidi tersebut ialah minyak masak RM4 bilion, gandum RM40 juta, gas LPG RM2.6 bilion, Diesel RM7.5 bilion, RON95 RM27 bilion dan tarif elektrik dijangka sehingga akhir tahun ini RM5 bilion, "kata Perdana Menteri bagi menjawab pertanyaan asal Ahli Parlimen Port Dickson itu.

Tambah Perdana Menteri lagi, kesan daripada subsidi yang diberikan menyebabkan tahap inflasi Malaysia kekal rendah iaitu 2.8%.

"Saya kira paling rendah di Asia Tenggara dan juga mungkin seluruh dunia, inflasi kita kekal pada 2.8% dan jika subsidi tidak diberikan, inflasi mungkin meningkat kepada 8 hingga 11%. Saya bandingkan dengan negara lain, negara jiran kita Thailand 7.7% inflasi, Singapura 5.6%, Indonesia 4.4%, negara lain yang besar United Kingdom 9.1%, USA 9.1%, UAE 8.6%, maknanya kerajaan berbelanja lebih RM7.7 bilion bagi memastikan rakyat tidak terkesan teruk akibat daripada kenaikan harga barang yang berlaku di seluruh dunia," kata Perdana Menteri.

Selain subsidi, kerajaan juga memberikan bantuan secara tunai melalui Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) bagi membantu meringankan beban rakyat yang terkesan khususnya golongan B40.

Media Baharu