fb fb fb fb fb

Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi fokus isu semasa, terkini

KUALA LUMPUR, 18 Julai- Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi tumpu isu semasa dan terkini mengenai kenaikan harga barang dan isu harian.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pasukan ini amat aktif dan telah bersidang sebanyak tiga kali semenjak penubuhannya pada 29 Jun 2022.

Penubuhan pasukan ini berbeza dengan kuasa Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) terdahulu yang melihat kepada keseluruhan isu dan bukan hanya isu kenaikan harga sahaja.


(Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob)

"Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi ini melihat kepada isu semasa yang terkini iaitu kos sara hidup ataupun kenaikan harga barang dan ia adalah isu harian, sebab itu NACCOL bermesyuarat dua kali setahun, sekarang dua bulan sekali, tetapi Pasukan Khas Jihad menangani inflasi ini mengadakan mesyuarat dua kali seminggu, iaitu hari Isnin dan juga hari Khamis dan mereka mesti melaporkan kepada rakyat tentang tindakan yang akan dilakukan" kata Datuk Seri Ismail Sabri pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Tambah Perdana Menteri, tiada elaun diperuntukkan kepada ahli mesyuarat kerana mereka berkhidmat sepenuhnya demi negara.

Perdana Menteri menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Media Baharu