fb fb fb fb fb

Subsidi bersasar, kawalan harga ayam ditamatkan sepenuhnya

Datuk Seri Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR, 30 Oktober- Subsidi bersasar dan kawalan harga ayam akan ditamatkan sepenuhnya bermula 1 November ini kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.

Penamatan subsidi itu mengambil kira situasi dan trend semasa bekalan serta harga ladang dan kos pengeluaran ayam mulai stabil dan berada pada bawah harga siling selain meningkatkan pelbagai inisiatif sosioekonomi dan kebajikan rakyat termasuk bantuan tunai.

"Subsidi bagi telur ayam gred A, B dan C akan diteruskan menggunakan mekanisme sedia ada .

"Rasional penamatan subsidi secara pukal bagi ayam adalah untuk mengurangkan ketirisan subsidi di mana ketika ini ia turut dinikmati warga asing dan golongan berpendapatan tinggi," katanya dalam Sidang Media Penamtan Kawalan Harga dan Subsidi Ayam di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di ibu negara.

Selain itu kerajaan juga akan meluaskan akses bekalan ayam melalui Jualan Agro MADANI dan Jualan Rahmah secara berterusan di seluruh negara.

"Ia bagi memberikan pilihan dan jaminan kepada rakyat untuk mendapatkan bekalan ayam pada harga yang berpatutan dan dan di bawah harga siling semasa," katanya lagi.

Kerajaan juga mendapat kerjasama daripada pemain industri dalam satu sesi libat urus pada 22 Oktober lalu selain bersedia untuk mendapatkan bekalan tambahan daripada sumber luar jika terdapat kekurangan bekalan yang boleh menyebabkan kenaikan harga secara mendadak.

Bagaimanapun Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan melalui akta kawalan harga dan antipencatutan 2011 bagi memastikan tiada aktiviti pengambilan untung secara berlebihan dan manipulasi harga oleh pihak peruncit.

Industri penternakan ayam turut diperkasa melalui bantuan insentif pembiayaan dana pusingan kepada penternak bersaiz kecil dan sederhana, dan skim mikro kredit sebagai bantuan modal pusingan kepada penternak komuniti serta program transformasi.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI