fb fb fb fb fb

Suara kanak-kanak jadi teras RUU Antibuli 2025 - Azalina

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said pada Mesyuarat Ketiga, Penggal Keempat Parlimen ke-15 Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen hari ini/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 16 Disember - Rang Undang-Undang (RUU) Antibuli 2025 digubal berteraskan suara dan pengalaman sebenar kanak-kanak termasuk mangsa buli.

Ia sebagai usaha memastikan perlindungan yang lebih menyeluruh dan berkesan, jelas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau berkata kerajaan bukan sekadar bergantung kepada data dan laporan rasmi, sebaliknya turut turun padang mendengar sendiri luahan kanak-kanak yang berdepan pengalaman buli di sekolah.

Menurutnya, kanak-kanak yang terlibat berkongsi pengalaman sebagai mangsa ejekan berterusan, intimidasi serta tekanan psikologi yang menjejaskan emosi dan keyakinan diri, selain mengakui mereka sering takut untuk membuat laporan kerana bimbang tindakan balas.

“Malah saya sendiri telah mendengar suara kanak-kanak secara langsung melalui sesi libat urus khas. Mereka hadir dan berkongsi pengalaman sebagai mangsa buli termasuk ejekan yang menghina dan intimidasi yang menjejaskan emosi serta keyakinan diri. Dalam perbincangan itu, salah satu daripada kanak-kanak telah menggunakan istilah ‘Hero Friend’ untuk merujuk rakan yang membantu dan melindungi mereka ketika berdepan situasi buli,” kata beliau ketika membentangkan RUU Antibuli 2025 bagi Bacaan Kali Kedua di Dewan Negara, hari ini.

Tambahnya, konsep itu mencerminkan keperluan sokongan rakan sebaya serta persekitaran sekolah yang selamat dan meyakinkan, sekali gus menjadi inspirasi kepada penggubalan RUU Antibuli 2025.

Beliau berharap rang undang-undang tersebut mampu menjadi “Hero Friend” kepada kanak-kanak Malaysia dengan memberikan perlindungan undang-undang yang jelas, konsisten dan berkesan agar mereka dapat belajar dan membesar tanpa rasa takut.

RUU Antibuli 2025 merupakan hasil libat urus meluas melibatkan guru, ibu bapa, kaunselor, pertubuhan masyarakat sivil serta kanak-kanak melalui sesi dialog awam dan maklum balas awam di seluruh negara.

Rang undang-undang itu memberi tumpuan kepada perlindungan kanak-kanak berumur 18 tahun ke bawah, selari dengan Akta Kanak-Kanak, dan menandakan komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan sekolah kekal sebagai tempat paling selamat untuk anak-anak negara.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN