ISKANDAR PUTERI, 16 Disember- Langkah kerajaan Persekutuan mendaftar penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial tahun hadapan, disambut baik Kerajaan Negeri Johor, dalam membendung perkara negatif seperti penyebaran berita palsu dalam talian.
Exco Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin berkata usaha itu juga dapat meningkatkan keselamatan pengguna media sosial.
“Harapan saya agar perkara ini dapat didaftarkan bagi mengelakkan sebarang insiden atau perkara tidak diingini. Pada masa sama, ia bukan bertujuan menyekat kebebasan bersuara, mereka masih bebas berbicara melalui platform sedia ada."
"Pendaftaran ini hanyalah sebagai mekanisme kawal selia, supaya sekiranya berlaku sebarang isu, terdapat garis panduan dan rujukan yang jelas apabila kerajaan negeri mengeluarkan penjelasan termasuk mengenal pasti pihak yang menyebarkan maklumat palsu. Perkara ini penting kerana penyebaran maklumat tidak tepat sering berlaku di media sosial," kata Aznan kepada pemberita, hari ini.
Inisiatif baharu itu dijamin tidak menjejaskan agenda pendigitalan pendidikan negeri, meskipun ia melibatkan larangan pemilikan akaun media sosial oleh individu berusia 16 tahun ke bawah.
Pelajar terlibat masih boleh mengakses internet untuk tujuan pembelajaran, seperti menjawab soalan menggunakan telefon pintar.