fb fb fb fb fb

R&D MPOB pacu eksport sawit lebih RM100 bilion, sambut ulang tahun ke-25

Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani berucap pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) 2025 di Ibu Pejabat MPOB hari ini/ Foto BERNAMA

BANGI, 16 Disember – Kejayaan berterusan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menjadi pemacu utama lonjakan industri sawit negara, dengan nilai eksport melebihi RM100 bilion setahun.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata pendekatan R&D yang konsisten memastikan minyak sawit Malaysia terus relevan, berdaya saing dan diterima secara meluas di pasaran global.

“Dunia hari ini mahu kelapa sawit yang mampan. Fokus kita adalah meningkatkan hasil melalui penggunaan bahan tanaman berkualiti, amalan pertanian baik serta teknologi yang mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing,” katanya selepas menghadiri Majlis Anugerah Kecemerlangan MPOB 2025 di sini hari ini.

Sehingga kini, MPOB telah melaksanakan lebih 700 inisiatif R&D, dengan 200 daripadanya berjaya dikomersialkan, merangkumi pelbagai aplikasi baharu dalam sektor makanan dan bukan makanan di peringkat antarabangsa. Usaha berterusan ini bukan sahaja meningkatkan eksport, malah membuka peluang ekonomi kepada rakyat tempatan melalui pekerjaan dan keusahawanan.

Johari berkata industri sawit dijangka kekal stabil dan berdaya saing pada tahun depan hasil R&D berterusan, amalan mampan yang dipertingkatkan, serta penekanan kepada peningkatan produktiviti di kawasan sedia ada seluas kira-kira 5.7 juta hektar, selaras dengan komitmen Malaysia menghentikan aktiviti penebangan hutan.

Beliau menekankan bahawa penanaman semula perlu dilakukan secara berperingkat, bagi memastikan pendapatan pekebun tidak terjejas sementara pokok baharu mengambil masa tiga hingga empat tahun untuk berbuah.

Kerajaan juga menyediakan peruntukan tahunan sekitar RM100 juta bagi membantu pekebun kecil melaksanakan penanaman semula.

Tambah beliau, harga minyak sawit mentah banyak bergantung kepada tahap permintaan dan kepelbagaian aplikasi.

Dengan penggunaan yang semakin meluas, harga kekal kukuh pada sekitar RM4,000 satu tan, berbanding RM1,800–RM2,000 satu tan sebelum ini.

“Kesinambungan R&D memastikan industri sawit terus berkembang dengan aplikasi baharu yang mampu dikomersialkan secara berkesan, sekaligus mengekalkan sokongan terhadap eksport dan nilai tambah komoditi negara,” katanya.

AMIRULL SHAFFIQ BIN ABDUL GHANI