KUALA LUMPUR, 16 Disember – Kerajaan mengakui keperluan untuk mempergiat dan meluaskan pelaksanaan Pelan Pemerkasaan Sosioekonomi Belia 2030, khususnya di Sabah, bagi menangani isu pengangguran belia yang masih berada pada tahap membimbangkan.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim berkata meskipun pelbagai inisiatif latihan telah dilaksanakan, jumlah penyertaan belia dalam program sedia ada masih belum mencukupi untuk menampung lebih 100,000 belia menganggur di negeri itu.
Menurut beliau, seramai 450 pelajar mengikuti latihan sepenuh masa di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kinarut pada tahun ini, manakala lebih 4,700 belia Sabah terlibat dalam latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Latihan asas perlu diperkukuh secara lebih cekap dan menyeluruh, selain memastikan pelajar serta graduan TVET dihubungkan secara langsung dengan peluang pekerjaan dalam industri,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Senator Datuk Edward Linggu Bukut di Dewan Negara, hari ini.
Adam Adli berkata kadar kebolehpasaran graduan IKBN setakat ini melebihi 96 peratus, selari dengan latihan berasaskan industri dan keperluan pasaran kerja, sekali gus membuktikan keberkesanan pendekatan latihan yang dilaksanakan.
Beliau berkata di bawah Pelan Pemerkasaan Sosioekonomi Belia 2030, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) turut melaksanakan libat urus akar umbi melalui Technical Working Group (TWG) yang melibatkan pelbagai pemegang taruh termasuk industri sedia ada dan baharu bagi memastikan peluang pekerjaan yang ditawarkan lebih realistik dan inklusif.
Menurutnya, walaupun pelan berkenaan masih berada pada peringkat awal pelaksanaan, mekanisme pemantauan rapi telah diwujudkan bagi menilai keberkesanan setiap program dan inisiatif, selain menyediakan kemas kini berkala yang boleh diakses oleh orang awam.
Menjawab soalan tambahan Senator Dr Jufitri Joha, Adam Adli berkata capaian maklumat serta penawaran inisiatif kerajaan kepada golongan belia, khususnya di kawasan luar bandar, masih perlu diperluaskan.
Katanya, jaringan kerjasama strategik dengan rakan pelaksana termasuk Majlis Belia Malaysia akan terus diperkukuh bagi memastikan belia luar bandar, termasuk di Sabah, dapat dicapai dan digalakkan menyertai kursus serta latihan yang ditawarkan.
Beliau turut memaklumkan peningkatan permintaan terhadap latihan perlu diseimbangkan dengan penambahan penawaran, termasuk kemungkinan mewujudkan lebih banyak institusi latihan bersesuaian berdasarkan kajian menyeluruh pada masa hadapan.