fb fb fb fb fb

Syarikat e-waste didenda RM18,000 operasi tanpa lesen JAS

Foto Fail

SUNGAI PETANI, 16 Disember- Sebuah syarikat pemerolehan semula buangan terjadual elektrik dan elektronik (e-waste) Kod SW110 didenda RM18,000 oleh Mahkamah Sesyen Sungai Petani hari ini selepas didapati bersalah beroperasi sebagai Premis Yang Ditetapkan tanpa lesen daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Hukuman itu diputuskan Hakim Nabisha Ibrahim.

Berdasarkan fakta kes, premis syarikat terbabit yang terletak di Kawasan Perindustrian Bukit Selambau diserbu JAS Kedah pada 31 Januari 2024.

Hasil pemeriksaan mendapati syarikat berkenaan beroperasi sebagai Premis Yang Ditetapkan Buangan Terjadual (PYDT-BT) tanpa memiliki lesen sah daripada JAS.

Kesalahan tersebut didakwa di bawah Seksyen 18(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan dihukum mengikut Seksyen 18(3) akta sama, yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya.

Bagaimanapun, syarikat berkenaan bernasib baik kerana kesalahan itu dilakukan sebelum pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 berkuat kuasa pada 7 Julai 2024.

Menerusi pindaan tersebut, hukuman denda minimum RM25,000 dan maksimum sehingga RM250,000 boleh dikenakan terhadap pihak yang disabitkan kesalahan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM