fb fb fb fb fb

Suami isteri maut, tiga anak cedera kemalangan di LPT2

(Keadaan kenderaan pasangan guru yang maut dalam kemalangan di Kilometer 274, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2),
dekat Cheneh, hari ini)

KEMAMAN, 4 Februari- Suami isteri maut, manakala tiga anaknya cedera selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), petang tadi.

Kemalangan berlaku di Kilometer 274, jalan Kuantan menghala Kuala Terengganu dekat persimpangan susur keluar Cheneh, di sini, kira-kira pukul 4.00 petang tadi.

Arbain Baharudin, 47, yang memandu Toyota Estima bersama isterinya, Rosmayati Bakar@Lalar, 48, meninggal dunia di tempat kejadian selepas cedera parah di beberapa bahagian badan.

Kedua-dua mereka merupakan pasangan guru yang mengajar di Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang (SMAPK).

Sementara itu, tiga anak mereka iaitu Farah Najwa, 20, Fatin Najla, 10, dan Faikal Nabila, 8, masing-masing mengalami kecederaan di tangan, kaki dan muka.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, ketika kejadian, mangsa sekeluarga yang tinggal di Kajang, Selangor dalam perjalanan pulang ke Kampung Gelugor, Kerteh selepas menghantar salah seorang anak lelakinya di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) Kuantan.

Kejadian dipercayai berlaku apabila kenderaan jenis Toyota Estima yang dinaiki mereka dari arah Kuantan menghala ke Kuala Terengganu tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan.

"Toyota Estima itu dipercayai telah terbabas kiri jalan, kemudian membalas ke sebelah kanan dan berpusing beberapa kali sebelum berhenti atau tersangkut di pembahagi jalan.

"Kedua-dua mangsa yang terkorban tercampak keluar dari kereta, lebih kurang lima hingga 10 meter dari tempat kejadian," katanya di sini.

Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk siasatan lanjut, manakala tiga anaknya dibawa ke unit kecemasan hospital sama untuk mendapatkan rawatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

(Arbain Baharudin, 47, bersama isterinya, Rosmayati Bakar@Lalar, 48,
meninggal dunia di tempat kejadian)

Media Baharu