fb fb fb fb fb

Peruntukan tambahan kepada KUSKOP, perkasa keusahawanan dan koperasi

IPOH, 4 Februari - Menjelang Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan 24 Februari ini, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) optimis peruntukan tambahan dapat disalurkan kepada kementerian itu bagi memperkasakan sektor keusahawanan dan koperasi di negara ini.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata pihaknya mengemukakan cadangan awal kepada Kementerian Kewangan berjumlah RM666 juta bajet khusus bagi program pembangunan dan yakin ia akan diluluskan.

Jelas beliau, selain program sedia ada melibatkan agensi bawah kementerian berkenaan, program baharu turut dirangka bagi tahun ini antaranya program pembangunan perusahaan sosial, program pembangunan untuk penjaja dan peniaga kecil, dan program usahawan siswazah.

"Saya amat yakin berasaskan pada sesi libat urus kementerian saya dengan Kementerian Kewangan, cadangan-cadangan bajet yang kita perlukan itu telah diambil peduli dan mudah-mudahan dimasukkan dalam belanjawan ini supaya mudah kementerian saya dan agensi-agensi saya melaksanakan program yang telah dirancang sepanjang tahun ini," kata Ewon di sini.

Sebanyak 185 program atau projek dicadangkan untuk dilaksanakan kementerian itu serta agensi di bawahnya sepanjang tahun ini termasuk beberapa cadangan baharu yang bersesuaian dengan agenda Madani cetusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

(Ewon bercakap kepada pemberita pada Majlis Sesi Sembang Santai bersama
Masyarakat Orang Asli Perak di Pusat Kecemerlangan Orang Asli Perak
di Kampung Kerawat, Simpang Pulai, di sini)

 

Media Baharu