fb fb fb fb fb

Menu Rahmah: Chicken chop harga RM5

(Hidangan 'chicken chop' di Restoran Samballana yang dijual pada harga RM5 di bawah
Program Menu Rahmah)

JOHOR BAHRU, 4 Februari- Restoran Samballana di Bandar Dato Onn, di sini, menawarkan hidangan 'chicken chop' bersama minuman mangga pudina dengan harga RM5 menerusi Program Menu Rahmah.

Muhammad Akmall Yusof dan isterinya, Suhana Mohd Esa memberitahu, menu 'chicken chop' dengan harga RM5 sudah lama diperkenalkan di restoran pertama mereka di Kota Tinggi dan usaha itu kini diteruskan di cawangan baharu mereka di Bandar Dato Onn.

Mereka memilih menawarkan hidangan barat tersebut bagi memberi kelainan dan pilihan kepada rakyat yang memerlukan, selain turut merancang untuk menawarkan hidangan barat yang lain sebagai menu mampu milik di bawah program tersebut.

“Kedai-kedai lain menawarkan hidangan nasi goreng, mi goreng dan nasi campur sebagai Menu Rahmah, jadi kami buat kelainan dengan menawarkan hidangan barat di restoran kami.

"Saya menyeru rakan-rakan dalam bidang makanan dan minuman ini bahawa tidak rugi untuk kita sediakan Menu Rahmah kerana selain menyahut seruan kerajaan, dalam masa yang sama ia membantu rakyat berpendapatan rendah kerana tidak semua orang berkemampuan,” ujar Suhana Mohd Esa selepas Majlis Perasmian Menu Rahmah Samballana di sini.

Pasangan suami isteri itu turut menganggap inisiatif Menu Rahmah sebagai sedekah kepada golongan memerlukan.

(Pekerja Samballana, Norelliya Zulaikha Zuhaidi menunjukkan set hidangan
yang dijual dengan harga RM5)

Media Baharu