KUALA LUMPUR, 4 Februari - Agenda kerjasama yang adil dengan mana-mana blok, isu Myanmar, kestabilan rantau dan Islamofobia antara fokus perbincangan Pemukiman Menteri-menteri Luar ASEAN.
Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir memaklumkan anggota ASEAN ingin mewujudkan kerjasama yang baik dengan pelbagai negara dan blok, berupaya meningkatkan perdagangan serta menjadi platfom dalam menyelesaikan sebarang masalah.
ASEAN, katanya sentiasa menekankan bentuk kerjasama berdasarkan prinsip adil dan saksama yang dapat memberi kebaikan kepada kedua-dua pihak.
Hubungan baik yang sedia terjalin dapat dikekalkan tanpa unsur diskriminatif ataupun meletakkan syarat tertentu kepada ASEAN.
Beliau menegaskan pelaksanaan keputusan oleh Kesatuan Eropah menghalang kemasukkan keluaran komoditi dari rantau ini ke pasaran mereka dengan pelbagai halangan dan alasan kurang disenangi ASEAN.
Mengenai Myanmar pula beliau berkata, ASEAN turut berharap proses rundingan yang inklusif dapat dijalankan di Myanmar bagi mengembalikan semula demokrasi.
Mesyurat yang dipengerusikan Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi, sepakat untuk memastikan rantau ASEAN bebas daripada pertelingkahan dan ancaman ‘kuasa besar’.