KEMAMAN, 17 Jun- Sepasang suami isteri maut manakala dua anaknya cedera selepas kenderaan yang dinaiki mereka hilang kawalan dan terbabas sebelum terbalik.
Nahas tersebut berlaku di kilometer 267.1 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran dengan Hentian Rehat dan Rawat Perasing, di sini kira-kira pukul 4.00 petang tadi.
Ketua Balai Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, Mohd Riduan Mohd Yaacob, 35, dan isterinya Zahidah Hanisah Mohamad, 35, meninggal dunia di tempat kejadian.
Isteri mangsa merupakan seorang guru yang bertugas di Sekolah Kebangsaan Tebing Tembah di Paka, Terengganu.
Dalam kejadian itu kereta yang dipandu mangsa hilang kawalan melanggar penghadang jalan kiri dan terseret ke lorong kanan lalu terbalik.
Hanyan Ramlan berkata, "dua anak mangsa Muhammad Uwais Wafiuddin Mohd Riduan, 8, dikejarkan ke Sultan Ahmad Shah Medical Centre, Kuantan manakala Raudhatul Khayra Mohd Riduan, 3, dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut."
Ketika kejadian mereka dalam perjalanan dari arah Kuantan, Pahang untuk pulang ke rumah keluarganya di Kampung Pulau Sekati, Manir, Terengganu.
(Keadaan kereta yang dipandu Mohd Riduan Mohd Yaacob)