BUKIT MERTAJAM, 17 Jun- Jualan Rahmah kini tampil dengan pendekatan baharu apabila ia dilaksanakan secara terus kepada golongan sasar.
Ia melalui inisiatif, Treler Jualan Rahmah Bergerak yang membawa barangan keperluan ke lokasi penduduk.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh pendekatan itu berbeza berbanding sebelum ini yang dilaksanakan di premis yang memerlukan golongan sasar untuk datang ke lokasi.
"Dengan Jualan Rahmah bergerak ini misi kita ialah untuk sampai kepada rakyat kalau dahulu rakyat datang ke kedai, sekarang kedai datang kepada rakyat.
"Jadi itulah istimewanya Jualan Rahmah bergerak ini dan kita mensasarkan dengan pelancaran pada hari ini dari 16 Jun sehingga 28 Jun. Kita mensasarkan Jualan Rahmah ini di seluruh negara di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) di setiap Parlimen," katanya di sini.
Fuziah turut menambah Parlimen telah meluluskan RM100 juta bagi Jualan Rahmah Bergerak pada April lalu.
Dengan pelancaran Treler Jualan Rahmah Bergerak, ia menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri pertama melaksanakan inisiatif berkenaan.
(Fuziah Salleh)