(Suspek menyuntik dadah dalam bekas minuman sebelum dijual di kelab malam
atau individu lain)
BANDA HILIR, 25 Januari- Pasangan suami isteri ditahan di Melaka selepas disyaki mengedar pelbagai jenis dadah dengan cuba mengaburi pihak berkuasa menerusi modus operandi menyuntik dadah dalam botol minuman.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kedua-dua suspek berusia 34 dan 28 tahun itu ditahan oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.
Operasi itu menjumpai pelbagai jenis dadah, antaranya cecair dan serbuk ketamin, pil ekstasi, pil erimin 5 dan ganja dengan nilai rampasan dadah serta harta yang disita berjumlah RM239,191.
"Lelaki warga tempatan berusia 34 tahun ditahan di sini pada 21 Januari lalu.
"Siasatan lanjut membawa kepada serbuan di sebuah lot pangsapuri di sini dan menahan isterinya warga Thailand berusia 28 tahun," katanya kepada pemberita pada sidang media di IPD Melaka Tengah, di sini.
Beliau berkata, menerusi hasil risikan yang dijalankan, pihaknya mendapati pengedaran dadah itu adalah untuk pasaran tempatan dan dikesan aktif sejak hujung tahun 2022.
Pihaknya turut menyita sebuah kereta Proton Saga FLX, barang kemas dan wang tunai.
"Suspek menggunakan modus operandi menyuntik dadah ke dalam bekas minuman asal, kemudian dibungkus kembali seperti baharu.
"Jika kita teliti, minuman berkenaan terdapat keladak, kesan suntikan campuran dadah itu
"Jadi, ini yang akan dijual di kelab-kelab malam atau permintaan dari individu lain," katanya
Tambah beliau, hasil ujian saringan air kencing kedua-dua supek adalah negatif dan tiada rekod jenayah.
Kedua-dua suspek direman selama enam hari sehingga 26 Januari ini untuk disiasat disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
(ASP Christopher Patit)