fb fb fb fb fb

39 pintu rumah panjang musnah terbakar

 (Beberapa kenderaan musnah dalam kebakaran di Rumah Panjang Bujang Rantau Kiran
pada 25 Januari 2023)

LIMBANG, 25 Januari- Sebanyak 39 pintu melibatkan kira-kira 366 penduduk di Rumah Panjang Bujang Rantau Kiran, Medamit, di sini, musnah dalam kebakaran, pagi tadi.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 7 Limbang, Ramlan Marajan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.48 pagi dan terpaksa mengharungi perjalanan sejauh 50 kilometer untuk sampai ke lokasi kejadian.

"Api berjaya dikawal selepas lebih dua jam operasi pemadaman," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Limbang, Deputi Superintendan Liong Tindan mengesahkan tiada kemalangan jiwa dalam kejadian tersebut.

"Setakat ini, kita tidak terima laporan kemalangan jiwa, cuma dimaklumkan ada dua mangsa cedera ringan dan dihantar ke klinik.

"Maklumat awal, mangsa cedera bukan disebabkan kebakaran, tetapi cedera ketika cuba menyelamatkan harta benda," katanya kepada media di lokasi kejadian.

Selain bomba dan polis, agensi awam seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Limbang dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Limbang turut berada di lokasi kejadian bagi kerja-kerja menyerahkan 40 kit makanan kepada setiap keluarga yang terjejas.

Punca kebakaran masih dalam siasatan.

(Keadaan Rumah Panjang Bujang Rantau Kiran yang terbakar
pada 25 Januari 2023)

Media Baharu